Everton mengumumkan perpindahan Michael Keane yang mampu mencecah rekod pembelian GBP30 juta (RM167 juta) kelab itu.

Pemain pertahanan England itu memeterai kontrak selama lima tahun di Goodison Park.

Everton membayar GBP25 juta (RM139 juta) kepada Clarets dan perjanjian itu boleh meningkat sebanyak GBP5 jua (RM28 juta) lagi untuk menyamai harga ketika mendapatkan Romelu Lukaku dari Chelsea.

Selepas muncul sebagai pemain termahal Burnley, Keane berkata perluang untuk bekerjasama dengan bekas pertahanan Barcelona dan Belanda, Ronaldo Koeman, sukar untuk ditolak.

"Saya sangat teruja berada di Everton. Kelab ini mempunyai penyokong yang ghairah dan penuh tradisi. Saya tidak sabar untuk turun berlatih dan bertemu rakan sepasukan," ujarnya.

"Paling utama, pengurus merupakan faktor utama saya ke kelab ini. Dia beraksi di posisi yang sama dengan saya dan merupakan seorang pemain berkelas dunia di Barcelona dan Belanda.

"Saya percaya corak permainan yang diketengahkannya sesuai dengan saya.

"Saya menonton banyak aksi Everton pada musim lalu dan saya percaya saya sangat sesuai dengan gaya permainan mereka. Ia tempat yang sesuai untuk mengembangkan permainan saya.

"Dia meyakinkan saya bahawa saya boleh terus meningkat dalam beberapa aspek permainan.

"Saya baru berusia 24 tahun kerana bagi pertahanan tengah dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), ia dianggap masih muda.

"Perjalanan saya masih jauh dan saya sedar di bawah tunjuk ajarnya, saya akan terus meningkat."

Keane yang mempunyai baki kontrak selama setahun lagi di Turf Moor sempat dikaitkan akan kembali menyertai Manchester United sebelum kehadiran Victor Lindelof dari Benfica.