Bekas pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand, percaya Michael Keane mampu menjadi pemain bintang sekiranya dia mengikut jejak Paul Pogba untuk kembali ke kelab itu.

Keane meninggalkan United untuk menyertai Burnley pada 2015 dan pemain berusia 24 tahun itu bingkas mencipta nama di Turf Moor.

Dia kini telah mengesahkan dirinya antara yang terbaik dalam Liga Perdana Inggeris sehingga terpanggil mewakili England dalam kelayakan Piala Dunia, tahun lalu.

Ferdinand kagum dengan Keane dan berharap United mengambil tindakan segera untuk memujuknya kembali ke Old Trafford.

"Dia gemar bertanyakan soalan dan suka menerima kritikan membangun. Itu adalah ciri-ciri yang baik untuk dimiliki kerana ia bermakna dia hanya fokus untuk memperbaiki dirinya," Ferdinand bercakap di BBC 5 Live.

"Dia sering kali mahu perbaiki pemakanan, fizikal dan kemudian cuba menerapkan apa yang dipelajari di atas padang.

"Pada saya, sudah tentu dia kecewa apabila mendapat tahu dia perlu meninggalkan Old Trafford.

"Tetapi senario itu membenarkan dia melebarkan sayap dan bertukar menjadi pemain pertahanan yang hebat. Ketika di Manchester United, dia tidak mendapat peluang itu.

"Jika kamu lihat Pogba, dia keluar dan kini kembali untuk menjadi bintang di United, Keane juga mampu melakukannya."