Pengendali Leicester City, Claudio Ranieri, kekal yakin bahawa penjaga gol utama, Kasper Schmeichel, akan kembali pulih daripada kecederaan tangan sebelum hujung tahun ini.

Pemain antarabangsa Denmark itu mengalami keretakkan tulang bulan lalu dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, sekaligus meletakkan Ron-Robert Zieler sebagai pengganti.

Schmeichel masih tidak dapat beraksi apabila The Foxes berkunjung ke Stadium of Light bagi menghadapi Sunderland, Sabtu ini.

Ranieri berkata Schmeichel kini sudah kembali pulih dan telah pun bersalaman dengan pemain itu.

"Semua pemain sudah kembali cergas kecuali Kasper," kata Ranieri. "Mereka telah berlatih dengan baik, ini adalah perlawanan yang penting tetapi kami sudah bersedia.

"Saya berharap Kasper akan kembali sebelum Krismas. Saya telah bersalaman dengan tangannya yang cedera itu."

Meskipun menjuarai Liga Perdana Inggeris musim lalu, The Foxes masih bergelut musim ini tatkala hanya dipisahkan dengan dua mata daripada zon penyingkiran.

Senario itu menyebabkan timbul laporan mengatakan Ranieri sedang sibuk mencari pemain bagi menguatkan skuadnya menjelang jendela perpindahan pada Januari dibuka.

Media turut melaporkan Leicester sudah pun bersetuju untuk membayar GBP15 juta bagi membawa masuk pemain tengah Genk, Wilfred Ndidi.

Bagaimanapun, Ranieri enggan memberi ulasan lanjut, sebaliknya menegaskan laporan tersebut sekadar khabar angin.

"Ia hanya spekulasi semata-mata. Saya tidak akan bercakap tentang pembelian atau penjualan pemain.

"Kami sedang melihat daripada pelbagai aspek."