Karanka gembira dengan aksi Boro ketika benam Hull

By Peter Hanson 5 December 2016 69
Karanka gembira dengan aksi Boro ketika benam Hull
MIDDLESBROUGH 1 HULL CITY 0

Aitor Karanka berpuas hati dengan corak permainan pasukannya, Middlesbrough, dalam mempertahankan gol tunggal perlawanan ketika menentang Hull City dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi. 


Boro sememangnya berhak untuk meraih tiga mata di Stadium Riverside hasil tandukan Gaston Ramirez selepas sejam perlawanan berlangsung. 

Pasukan tuan rumah itu memiliki deretan peluang untuk melebarkan jaringan di mana Alvaro Negredo gagal memanfaatkan peluang terbuka pada awal permainan, namun bos Boro, Karanka, berpendapat barisan pemainnya telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik untuk meraih kemenangan. 

"Kami memang berhak menang, kami memiliki banyak peluang dan menguasai permainan. Kami beraksi dengan yakin dan sebaik sahaja kami mendahului, kami memiliki pengalaman untuk mengawal rentak," ujar beliau kepada Sky Sports.

"Saya sangat berbangga dengan pasukan saya. Ia perlawanan yang sukar dalam EPL."

Ramirez menjadi nadi buat Boro, namun bagi Karanka -- pasukannya yang menduduki tangga ke-13 EPL dengan empat mata di atas zon penyingkiran -- memuji aksi menyeluruh pasukannya. 

"Ada masanya Gaston Ramirez menyumbat gol, ada masanya pemain lain tapi kami memenangi tempat ke EPL di atas kerjasama berpasukan dan begitulah cara kami untuk kekal," tambahnya. 

"Kami sudah memungut 15 mata, kami perlu terus berusaha secara berpasukan. Kami perlu bersaing dengan pasukan yang dalam zon penyingkiran memandangkan kami adalah sebuah pasukan mentah. Kami belum mencapai apa-apa lagi."

Hull cuba bangkit pada akhir perlawanan, namun Boro bertahan dengan baik sebelum detik Ramirez menjaringkan gol dalam gerakan sepakan penjuru. 

Pengurus Hull, Mike Phelan -- yang mendedahkan Abel Hernandez akan tersisih selama tiga minggu lagi akibat masalah hernia -- kesal anak buahnya gagal mengekalkan tumpuan mereka dan berhasrat mengintai pemain baru ketika jendela perpindahan nanti selepas pasukannya terperosok di tangga kedua dasar liga. 

"Kami cuba mencapai sesuatu tapi ia amat mengecewakan. Kami melepaskan gol mudah dalam situasi bola mati, kami gagal memberi tumpuan dalam tugasan kami."

"Kami bertahan dengan baik dan selepas mereka menjaringkan gol, kami cuba bangkit. Namun, kami harus melakukan yang lebih baik lagi dan tidak dibolosi apabila diperlukan. 

"Saya harap pada Januari nanti, skuad ini akan tampak berbeza. Kami perlu melabur. Kami tidak boleh menerima sebarang berita kecederaan lagi. Kami akan mengharungi Krismas dengan perit. 

"Matlamat kami adalah untuk kekal dan memastikan kami tidak ketinggalan jauh dalam persaingan."
 

About Author

Peter Hanson

Comment