N'Golo Kante mempamerkan aksi cemerlang bagi membuktikan statusnya sebagai pemain terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) dan pengendali Chelsea, Antonio Conte, berasakan kebolehan sebenar pemain tengah itu akan ditampilkan musim ini.

Kante diangkat sebagai Pemain Terbaik Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) musim lalu selepas persembahan cemerlang yang dipamerkan bagi membantu Chelsea bimbingan Conte muncul juara
EPL.

Ia bermakna kejuaraan liga berturut-turut untuk pemain berusia 26 tahun itu, yang bersama Leicester City bagi musim 2015-16.

Kante kembali berdepan bekas kelabnya itu hujung minggu lalu dengan meledak gol bagi memastikan kemenangan Chelsea 2-1 di Stadium King Power.

"Kante adalah seorang pemain yang penting untuk kami. Dia merupakan pemain yang sangat berkualiti tinggi. Dia telah mempamerkan aksi yang cemerlang ketika berdepan Leicester," kata Conte.

"Dia telah menjaringkan gol tetapi secara keseluruhan, dia banyak menggerakkan pasukan ini.

"Saya dapat melihat peningkatan dalam permainannya musim ini. Kecergasannya di atas padang dilihat semakin baik. Kami berharap dia akan menjadi pemain yang penting untuk Chelsea dalam usaha mempertahankan gelaran EPL dan beraksi dalam Liga Juara-Juara (UCL)."