Pengurus Chelsea, Frank Lampard, mendedahkan prsoses pemulihan N'Golo Kante daripada kecederaan berjalan lancar dan berharap pemain tengah itu akan kembali ke pangkuan skuad tidak lama lagi.

Pemain Perancis itu terpaksa disisihkan dalam jelajah ke Jepun bagi menjalani pemulihan kecederaan lutut yang dialaminya lewat musim lalu.

Kante terlepas banyak perlawanan untuk kelab dan negara sepanjang dua bulan lalu -- meskipun dia dalam kesebelasan utama final Liga Europa -- dan terlepas kemenangan 2-1 The Blues ke atas Barcelona, kelmarin.

Chelsea akan membuka kempen Liga Perdana Inggeris dengan menentang Manchester United pada 11 Ogos dan Lampard berharap pemenang Piala Dunia itu akan bersedia untuk diturunkan.

"Dia dalam keadaan baik," kata Lampard dalam sidang media. "Ia adalah satu keputusan yang saya buat kerana saya berasakan jika dia berada di sini, dengan kemudahan dan perjalanan yang kami tempuhi, ia tidak akan membawa manfaat kepadanya.

"Dia baru kembali dan sudah beberapa hari berlatih di Cobham. Situasinya menampakkan kemajuan. Jadi, saya harap sebaik kami kembali hujung minggu ini, saya akan duduk berbincang dengan doktor untuk melihat adakah dia akan akan kembali berlatih dengan skuad utama tidak lama lagi. "

Tammy Abraham dan Ross Barkley menemui sentuhan ketika menentang Barca di Saitama, Jepun, namun Lampard pantas menepis sebarang harapan tinggi selepas mengalahkan juara LaLiga berkenaan.

"Saya tidak akan terbawa-bawa dengan kemenangan ini," katanya. "Tammy merupakan pemain di bahagian serangan dan dia laparkan gol, kini sudah tiba masa untuk dia membuktikan kemampuannya di Chelsea. Jaringan itu akan menjadi perangsang buatnya."

Lampard kagum dengan etika permainan skuad kendaliannya dalam kempen pra-musim dan menjangkakan mereka akan mengekalkan keamatan menjelang aksi pemanas badan terakhir menentang Reading, Salzburg dan Borussia Monchengladbach.

"Daripada segi beban kerja, pemain perlu membiasakan diri dari sekarang," katanya. "Saya menetapkan tahap bagaimana yang saya tuntut daripada mereka.

"Kami mempunyai dua perlawanan yang sukar dalam cuaca lembab," katanya. "Jelajah pra-musim ini telah memenuhi keperluan, kami perlu cergas dan bersedia untuk menghadapi Manchester United dan jam berdetik dengan cepat di peringkat ini."