Pemain tengah Perancis, N'Golo Kante, mendedahkan dia mahu menyertai Marseille dari Caen berbanding membawa haluan ke Liga Perdana Inggeris.

Kante, 25, sebaliknya berkesudahan di Leicester City, dengan memenangi kejuaraan liga sebelum menyertai Chelsea, di mana dia berada di landasan tepat untuk mengulangi kejayaan itu.

Tetapi pemain tengah itu berkata dia berasakan perubahan haluan ke Marseille harus lebih baik buatnya sebelum dia memilih untuk ke England.

“Antara kelab yang paling mahukan saya adalah Marseille dan Leicester," Kante memberitahu Canal +.

“Saya fikir saya harus melalui satu peringkat di Perancis. Saya ingat kepada generasi (Mamadou) Niang, (Franck) Ribery dan (Samir) Nasri dan ia satu pasukan yang saya sukai, terutama dalam Liga Juara-Juara.”

Kante, yang sudah melakukan 14 penampilan bersama Perancis, kelihatan akan meneruskan peningkatannya dengan anugerah Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA).

Namun, Kante yang merendah diri, berkata beberapa rakan sepasukannya turut layak meraih anugerah itu.

"Ada beberapa pemain dalam Lga Perdana yang berhak ke atas anugerah ini," katanya.

"Ada (Eden) Hazard, Diego Costa dan David Luiz dalam pasukan saya."

Chelsea kini berkelebihan 10 mata di tangga teratas Liga Perdana, dengan perlawanan berikut mereka ialah menentang Crystal Palace, Sabtu ini.