Bintang Chelsea, N'Golo Kante, mengakui mahu terus memberikan yang terbaik di Stamford Bridge tetapi menafikan dirinya adalah pemain terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain kebangsaan Perancis itu merupakan nadi kepada Leicester City ketika mereka melakar kejutan menjulang kejuaraan liga musim lalu, membenarkannya untuk berhijrah ke Chelsea dengan nilai perpindahan mencecah GBP32 juta (RM175 juta).

Kante mengharugi musim yang menarik sekali lagi di bawah kendalian Antonio Conte, melakar satu lagi kemenangan ke atas Stoke City 2-1, untuk menduduki takhta liga dengan memiliki kelebihan 10 mata ke atas pencabar terdekat, Tottenham.

Pemain berusia 25 tahun itu dilihat sebagai pemain pilihan untuk memenangi Anugerah Pemain Terbaik PFA -- yang dimenangi oleh Riyad Mahrez musim lalu -- namun dia percaya terdapat beberapa pemain yang lebih berhak merangkul anugerah ini.

"Saya gembira mendengarnya tetapi saya tidak melihat diri saya sebagai pemain terbaik dalam EPL," kata Kante.

"Masih terdapat beberapa pemain yang beraksi cemerlang untuk pasukan, mereka juga berhak meraihnya."

Conte menyatakan bahawa tujuh lagi kemenangan buat Chelsea akan memberikan mereka kemenangan liga buat kali kedua dalam tempoh tiga musim.

Kante memberikan amaran kepada rakan sepasuknnya supaya memberikan fokus dan melihat ke arah sasaran pasukan, dengan perlawanan berdepan Crystal Palace dan Manchester City, selepas musim bersambung semula setelah tamat tempoh perlawanan persahabatan antarabangsa yang bakal bermula minggu hadapan.

"Kami perlu menerima satu perlawanan demi satu perlawanan, kami berada di kedudukan yang baik untuk memenangi liga musim ini."