Pengendali Chelsea, Antonio Conte, akan menggunakan pilihan yang ada di bahagian pertahanan pasukannya selepas pemain tengah, N’Golo Kante, terpaksa disisihkan akibat kecederaan.

Kante mengalami kecederaan paha ketika mewakili skuad kebangsaan Perancis menentang Bulgaria, Sabtu lalu, sehingga memaksanya berehat selama empat minggu.

Walaupun Chelsea harus menunggu keputusan imbasan kedua, Conte khuatir dia bakal kehilangan khidmat tonggak utamanya itu untuk tujuh perlawanan yang akan datang.

“Kami akan melakukan proses imbasan pada minggu depan untuk mengetahui situasinya dan melihat sama ada dia semakin baik. Apa yang pasti, dia mengalami masalah paha.

“Ini merupakan kehilangan besar buat kami kerana kami tahu bahawa Kante merupakan pemain penting dalam pasukan.

"Chelsea tidak memiliki pemain lain yang memiliki perwatakan sama sepertinya. Kami hanya mempunyai Tiemoue Bakauyoko dan Cesc Fabregas di bahagian tengah dan perlu menghadapi tujuh perlawanan dalam masa sebulan.

“Kami harus mencari penyelesaian lain dan membiasakan diri dengan menggunakan pertahanan ke bahagian tengah atau memberikan laluan kepada pemain muda seperti Ethan Ampadu atau Kyle Scott,” katanya.

“Imbasan pertama menyaksikan Kante mungkin perlu berehat 20-25 hari. Anda harus memberikan sepenuh perhatian untuk memahami situasi ini.

“Kecederaan boleh berlaku ketika aksi antarabangsa dan juga dalam saingan liga. Alvaro Morata mengalami kecederaan ketika menentang Manchester City dan Kante melaluinya ketika bersama skuad kebangsaan. Perkara ini boleh berlaku.

“Anda perlu berharap agar pemain-pemain anda sentiasa dalam keadaan baik tetapi kadang-kala perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan terhadap kecederaan.”

Dalam masa sama, Conte mengharapkan agar Morata segera pulih sambil menyifatkan masa untuk pemain tengah yang masih belum melakukan sebarang penampilan buat The Blues, Danny Drinkwater, beraksi akan tiba.

“Saya berharap agar Morata cepat kembali dalam pasukan, terutama untuk aksi menentang AS Roma dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Rabu ini.

“Drinkwater semakin berkembang dengan baik dan kita perlu bersabar dengannya,” katanya lagi.