Tiada pemain Tottenham Hotspur yang akan berhijrah ke Liga Super China tatkala Harry Kane dan rakan-rakan sedang dalam misi merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris musimi ini.

Oscar melakar rekod selaku pembelian termahal ke China apabila menyertai Shanghai SIPG dengan pembelian bernilai GBP60 juta (RM322 juta) manakala rakan sepasukan di Chelsea, Diego Costa, dijangka mengikut jejak Carlos Tevez, Hulk, Axel Witsel, Ezequiel Lavezzi dan Ramires untuk beraksi di sana.

Kane, bagaimanapun, percaya skuad Spurs akan kekal ampuh dalam misi mereka mengejar kejuaraan di bawah kendalian Mauricio Pochettino.

"Ada yang akan membuat spekulasi tetapi kamu boleh lihat sendiri kelab ini kini berada di tahap terbaik,"kata Kane, yang meledak hatrik dalam kemenangan 4-0 ke atas West Brom pada Sabtu.

"Masa depan tampak cerah. Kami memiliki antara pengurus terbaik di dunia. Saya yakin dia akan kekal (jika ada kelab di China yang mahukan Pochettino), dia mempunyai projek yang besar untuk kami, termasuk stadium baru.

"Melakar kemenangan besar ke atas West Brom meletakkan kami di landasan terbaik untuk merebut kejuaraan, jadi saya berharap kami mampu melakukannya musim ini.

"Saya akan terkejut jika ada pemain kami yang akan ke China, terutama dalam dua musim ini. Apa yang kami miliki ketika ini adalah sangat baik, jadi saya berpendapat ia tidak munasabah jika ada yang mahu berhijrah."