Bintang Tottenham, Harry Kane, akan diketepikan sehingga awal Mac depan akibat kecederaan pergelangan kaki, menurut pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Ketua pasukan England itu ditimpa kecederaan berkenaan ketika menuju masa kecederaan dalam kekalahan 0-1 kepada Manchester United di Wembley, Isnin lalu.

Sehubungan itu, Kane bakal terlepas perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) dengan Borussia Dortmund pada 14 Februari ini dan mungkin tidak dapat diturunkan untuk aksi timbal balik pada 6 Mac.

Sementara itu, penampilannya dalam aksi 'derby' dengan Arsenal, tiga hari sebelumnya juga masih samar.

Spurs -- yang akan menghadapi Chelsea dalam aksi separuh akhir kedua Piala Liga Inggeris (EFL), Jumaat depan -- mengeluarkan kenyataan itu semalam sambil menjelaskan Kane dijangka tidak akan kembali berlatih sehingga awal Mac.

Pasukan kendalian Mauricio Pochettino itu memiliki kelebihan 1-0 ke atas Chelsea dan perlu melupakan khidmat Kane di pentas final pada 24 Februari sekiranya mereka melepasi halangan di Stamford Bridge nanti.

Spurs -- melepaskan Son Heung-min untuk mengikuti tugasan antarabangsa bersama Korea Selatan dalam Piala Asia 2019 -- juga perlu mengharungi beberapa perlawanan EPL tanpa khidmat Kane.

Anak buah Pochettino itu akan bertandang ke Fulham, Isnin depan, sebelum menghadapi Watford, Newcastle United, Leicester City, Burnley dan pertembungan peringkat tertinggi dengan Chelsea sebelum Kane dijangka kembali.

Kane telah meledak 14 gol liga musim ini dan ketiadaannya akan menjadi satu lagi tamparan hebat kepada peluang Tottenham yang semakin tipis untuk merebut kejuaraan ekoran kekalahannya kepada Manchester United yang meninggalkan mereka sembilan mata di belakang pendahulu, Liverpool.