Harry Kane berkata dia tiada sebab untuk tidak menamatkan karier bola sepaknya bersama Tottenham Hotspur selagi kelab itu terus menampakkan kemajuan.

Penyerang England itu menandatangani kontrak baru di White Hart Lane, sekaligus menyaksikan kontraknya akan berakhir pada tahun 2022.

Pemain berusia 23 tahun itu meraikan kontrak baru tersebut dengan penuh gaya apabila meledak dua gol untuk membantu Spurs melakar kemenangan besar 5-0 ke atas Swansea City pada Sabtu.

Kane, yang telah meledak lima gol dalam empat penampilan setakat ini, mahu melakar kejuaraan bersama Spurs dan berharap dapat kekal di utara London sehingga penghujung kariernya.

"Pada pandangan saya, selagi pasukan ini terus maju dan meletakkan sasaran yang tinggi, saya akan terus berada di sini," jelas Kane.

"Ketika ini, itulah yang berlaku, jadi tiada sebab untuk saya berhijrah. Saya mahu memenangi trofi bersama Spurs. Kami perlu meletakkan sasaran yang tinggi.

"Kamu juga boleh lihat stadium ini sedang dibesarkan hari demi hari. Cukup mengujakan. Kami memiliki segala yang perlu untuk melakar nama sebagai antara kelab terbesar di Eropah.

"Saya tidak pernah teragak-agak untuk menandatangani kontrak baharu."