Mauricio Pochettino tidak menolak Harry Kane mungkin kembali ketika berdepan Chelsea pada Ahad ini, namun menjangkakan penyerang itu akan mengetuai jentera serangan dalam pertemuan dengan Stoke City.

Kane mengalami kecederaan buku lali ketika Tottenham Hotspur menundukkan Bournemouth 4-1 pada awal bulan ini, menyebabkan penyerang England itu terlepas aksi bertemu Swansea dalam saingan Piala FA dan dua aksi persahabatan England berdepan Belanda dan Itali.

Spurs bakal bertandang ke Stamford Bridge dengan misi meraih kedudukan bagi melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan dan berpeluang menjarakkan lapan mata daripada juara bertahan itu.

"Kane melalui proses pemulihan dengan lancar dan menunjukkan perkembangan positif setiap hari," kata Pochettino.

"Sukar untuk mengesahkannya untuk beraksi pada hujung minggu ini tetapi besar kemungkinan dia akan kembali minggu depan.

"Kami harus memantau perkembangannya dalam beberapa hari lagi dan sentiasa bersikap positif serta gembira dengan tahap kecergasannya yang semakin meningkat.

"Selepas aksi dengan Bournemouth, semua orang menjangkakan dia akan berehat panjang," katanya.

Dalam masa sama, Pochettino berpendapat seorang lagi pemain utama, Dele Alli, memerlukan sokongan dan galakan selepas sekadar memanaskan bangku simpanan England ketika menentang Itali di Wembley, Rabu lalu.

"Hubungan saya dan Alli sentiasa baik, sama seperti pemain-pemain lain.

"Sudah tentu pemain-pemain bukan hanya memerlukan nasihat tetapi bantuan ketika prestasi mereka perlu diberi galakan.

"Saya rasa tugas saya adalah untuk membantu pemain mencapai tahap yang mereka berhak raih," ujarnya.