Harry Kane percaya Tottenham mampu merebut kejuaraan musim ini meskipun berdepan jadual ketat disebabkan penglibatan dalam saingan Liga Europa.

Pemain antarabangsa England itu meledak gol tunggal perlawanan menerusi sepakan penalti bagi menghadiahkan kemenangan ke atas Middlesbrough semalam bagi merapatkan jurang kepada sembilan mata di belakang Chelsea.

Meskipun kedudukan anak buah Antonio Conte dilihat tidak akan tergugat walaupun tewas 2-0 di White Hart Lane bulan lalu, Spurs masih berpeluang merebut trofi di pentas Piala FA dan Liga Europa.

"Kami memiliki skuad yang kuat berbanding musim lalu," Kane memberitahu BT Sport. "Kami mampu membuat perubahan kepada barisan pemain bagi memastikan skuad ini kekal cergas dalam setiap perlawanan.

"Kami mahu memenangi setiap perlawanan dan muncul juara."

Walaupun menang tipis ke atas Boro, Spurs mendominasi sepenuhnya aksi tersebut hingga mengekang lawan daripada melakar sebarang percubaan tepat ke gol.

"Kami mencipta banyak peluang tetapi gagal melakukan penyudah," ujar Kane. "Kami tetap teruja kerana Middlesbrough bukan lawan mudah, jadi kami berpuas hati dengan tiga mata ini."

Spurs dihadiahkan sepakan penalti selepas Son Heung-min dijatuhkan di dalam kotak yang disempurnakan Kane dan pemain antarabangsa Korea Selatan itu menegaskan penting untuk mereka fokus terhadap satu demi satu perlawanan.

"Malam ini penting untuk kami mengutip tiga mata ini," ujar Son.

"Kami akan fokus satu demi satu perlawanan. Musim ini masih panjang."