Harry Kane percaya dia mampu menghambat Romelu Lukaku untuk muncul selaku penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk musim kedua berturut-turut.

Walaupun dipinggirkan akibat kecederaan sebanyak dua kali, musim ini, Kane telah mencetak 20 gol bersama Tottenham Hotspur untuk menduduki tangga kedua carta penjaring, empat gol dipisahkan dengan penyerang Everton, Lukaku.

Kane meledak 25 gol pada musim lalu untuk memenangi Kasut Emas pertamanya dan dalam masa yang sama, pemain antarabangsa England itu berkata tumpuan utamanya adalah mengejar kedudukan puncak liga yang dikuasai Chelsea, selain turut mengintai status penjaring terbaik.

"Adalah sukar untuk berkata tidak!" kata Kane ketika ditanya sama ada dia memantau perkembangan Lukaku. "Sebagai penyerang, anda mahu menjadi penjaring terbanyak liga, tiada keraguan mengenainya.

"Saya melepaskan beberapa peluang yang sepatutnya disudahkan, Lukaku beraksi cemerlang dan ia persaingan yang baik, tetapi apa yang lebih penting ialah kami memenangi perlawanan.

"Saya turut mengintai anugerah itu dan jika saya boleh mendapatkan beberapa gol lagi, kita lihat apa yang akan berlaku!"

Spurs berdepan Chelsea dalam aksi separuh akhir Piala FA, Sabtu ini, selepas merapatkan jurang dengan skuad asuhan Antonio Conte itu kepada empat mata dalam perebutan tangga teratas -- rentetan kemenangan ketujuh mereka dalam liga -- dan Kane terdesak untuk meneruskan aksi cemerlangnya.

"Kami akan berdepan beberapa perlawanan sukar -- Crystal Palace dan Leicester City di tempat lawan, Arsenal dan Manchester United (di White Hart Lane), namun kami berasa bagus, kami mempunyai keyakinan," tambah Kane.

"Kami akan turun dalam setiap perlawanan dengan beranggapan, kami akan menjaringkan gol dan pertahanan kami tidak bolos, itulah yang cuba kami kekalkan sehingga ke hujung musim.

"Kami mempunyai misi penting berdepan Chelsea dan kami semua tidak sabar-sabar untuk menghadapi mereka!"