Penyerang Tottenham, Harry Kane, diangkat sebagai Pemain Terbaik England 2017.

Kane muncul pemenang pilihan selepas meraih 75 peratus undian yang terdiri daripada ahli kelab penyokong England.

Pemain berusia 24 tahun itu membuat enam penampilan di bawah kendalian Gareth Southgate pada 2017 dengan merekodkan tujuh jaringan untuk membantu England layak ke Piala Dunia Russia.

Kane mengetuai pasukan England dalam empat perlawanan tahun lalu, sekali gus dianggap sebagai pesaing utama untuk memakai lilitan ketua pasukan di Russia nanti.

"Ia sentiasa merupakan pencapaian yang istimewa untuk berpeluang mewakili pasukan kebangsaan dan dipilih sebagai pemain terbaik England pada 2017 dalam kalangan pemain berbakat.

"Ini adalah satu penghormatan sejati selepas tahun yang sukar untuk saya lupakan," kata bintang Tottenham Hotspur itu.

"Untuk memainkan peranan dalam mencapai hasrat ke pusingan akhir Piala Dunia adalah impian setiap pemain muda dan saya ingin berterima kasih kepada semua rakan sepasukan di peringkat antarabangsa kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan ini.

"Bagaimanapun, saya sangat berterima kasih kepada peminat Three Lions atas sokongan hebat mereka di Wembley dan di seluruh Eropah. Ia akan menjadi musim panas yang menarik di Russia nanti," ujarnya.

Penjaga gol Everton, Jordan Pickford, pula dinamakan Pemain Terbaik B-21 England.