Bintang Tottenham Hotspur, Harry Kane, mendedahkan bahawa dia telah berkorban dalam kehidupan peribadinya demi mencapai tahap terbaik dan mengatasi Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

Penyerang England itu mencatat 56 jaringan sepanjang 2017, meletakkannya di kedudukan teratas dalam senarai penjaring daripada lima liga terbaik Eropah.

Prestasi hebat itu menyaksikannya mengatasi Messi dengan kelebihan satu gol dan jika diteruskan pada tahun ini, Kane berkemungkinan besar menjadi pemain pertama yang memecahkan dominasi Ronaldo dan bintang Argentina itu bagi meraih anugerah Ballon d'Or selepas kali terakhir dilakukan oleh Kaka pada tahun 2007.

Bagaimanapun, Kane yang pernah dipinjamkan ke Leicester City di awal kariernya, mengakui bahawa dia mengorbankan kehidupan sosialnya semata-mata untuk mencapai tahap terbaik.

"Tidak dinafikan, Ronaldo dan Messi adalah dua pemain terbaik di dunia tetapi untuk saya mengatasi mereka, saya amat banggakannya. Ia bukan sekadar menewaskan mereka tetapi turut memenangi kejuaraan dan saya cuba melakukannya setiap tahun.

"Banyak perkara yang saya korbankan, terutama ketika berdepan perlawanan. Turun beraksi, berehat dan memulihkan diri sepenuhnya. Itu adalah kehidupan pemain bola sepak dan saya sukakannya.

"Mungkin saya kehilangan aspek sosial dalam hidup. Sesetengah pemain gemar keluar dan bersantai tetapi saya lebih suka berehat di rumah, meluangkan masa bersama keluarga dan terus berusaha mengejar cita-cita," ujar Kane.

Spurs mengharungi kempen cemerlang dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini setelah menewaskan Real Madrid dan Borussia Dortmund, namun prestasi itu tidak dapat dikekalkan di peringkat domestik apabila sekadar berada di tangga kelima liga.

Bagaimanapun, Kane tetap yakin dengan kemampuan pasukannya, lebih-lebih lagi mereka bakal berpindah ke stadium baru musim depan.

"Kami melalui musim yang bagus tetapi Manchester City jelas lebih cemerlang. Perubahan stadium telah memberikan kesan kepada banyak perkara.

"Kami masih merebut kejuaraan Eropah dan Piala FA, jadi pemain-pemain harus terus fokus," tambahnya.