Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, melabel Harry Kane sebagai salah seorang "penyerang terbaik" sambil menawarkan perbandingan dengan Lionel Messi dan Pele.

Kane, 24, terus menyerlah musim ini dengan mencetak 22 gol Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk meraih gol ke-100 dalam pertandingan itu.

Pemain antarabangsa England itu telah memenangi Kasut Emas buat tahun kedua berturut-turut dan berada di landasan tepat untuk melangkaui catatan dalam kempen terdahulu.

Sungguhpun Pochettino enggan mengatakan sama ada Kane boleh menguasai liga luar, dia percaya perkara yang sama boleh dipersoalkan terhadap beberapa pemain terhebat.

"Ia terlalu sukar untuk diketahui. Saya tahu kewujudan penyerang sepertinya di England, Jerman dan Sepanyol tetapi dia lebih hebat," katanya.

"Orang mengatakan jika Messi berpindah ke England, dia akan tetap sama? Sama seperti (Diego) Maradona, jika dia bermain pada hari ini adakah dia akan tetap sama?

"Begitu juga dengan (Alfredo) Di Stefano, (Johan) Cruyff, Pele."

Kane menjaringkan sekurang-kurangnya 20 gol Liga Perdana dalam empat musim berturut-turut dan Pochettino memuji peningkatan penggempur itu.

"Sukar untuk mencari penyerang lain yang bertambah baik sepertinya," katanya.

"Impak yang dibawanya terhadap Liga Perdana, liga terbaik di dunia, kerana anda sering mendengar orang di Sepanyol mengatakan Sepanyol adalah liga terbaik, sama seperti di Itali tetapi saya pernah berada di Perancis, Sepanyol dan England. Liga terbaik adalah di sini.

"Untuk mempunyai impak seperti Harry sangat sukar dan sebab itulah bagi saya, dia adalah salah seorang penyerang hebat."