Mauricio Pochettino menyifatkan Harry Kane memiliki persamaan dengan legenda Argentina, Gabriel Batistuta.

Kane meledak dua gol untuk membantu Tottenham meraih kemenangan 3-0 ke atas Everton dalam saingan Liga Perdana Inggeris, kelmarin.

Pemain berusia 24 tahun itu tidak menjaringkan sebarang gol bulan lalu tetapi meraih dua gol ketika beraksi di Goodison Park serta meraikan golnya yang ke-100 untuk Spurs.

Pochettino memuji pemenang but emas musim lalu itu dengan menyifatkan Kane memiliki persamaan dengan bekas rakan senegaranya, Batistuta, yang merupakan penjaring terbaik Argentina sebelum Lionel Messi memintas rekod tersebut.

"Batistuta adalah seorang pembunuh," kata Pochettino.

"Memiliki kekuatan mental yang baik, rembatan yang padu, seorang pemain yang profesional.

"Saya percaya Kane mampu mengikut jejak langkah seperti Batistuta, malah mampu menjadi lebih daripadanya. Dia memiliki kualiti yang hampir sama!"