TOTTENHAM 3 WEST HAM 2

Pengendali Tottenham, Mauricio Pochettino, menyifatkan Harry Kane sebagai salah seorang penyerang elit bertaraf dunia selepas meledak dua gol untuk memberikan kemenangan 3-2 ke atas West Ham dalam aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.


Kane menjaringkan dua gol dalam tempoh 160 saat di penghujung perlawanan, dengan gol kedua dihasilkan menerusi sepakan penalti untuk menyempurnakan kebangkitan Spurs bagi memastikan mereka tidak tewas sejak pembukaan musim 2016/17.

Michail Antonio membuka jaringan buat West Ham dalam separuh masa pertama sebelum Harry Winks menyamakan kedudukan pada minit ke-51. Manuel Lanzini meletakkan skuad kendalian Slaven Bilic di hadapan menerusi sepakan penalti.

Namun, Kane menjadikan kedudukan 2-2 sebelum penyerang England itu memastikan tiga mata penuh buat pasukan tuan rumah di penghujung perlawanan.

"Kami telah menghasilkan perwatakan serta personaliti yang baik untuk terus menghasilkan gol dan berjuang sehingga penghujung perlawanan," ujar Pochettino kepada BT Sport.

"Kami menghasilkan lebih banyak peluang daripada West Ham dan kami lebih berhak memenangi perlawanan ini. Ia bukan persembahan terbaik kami dan kami sangat gembira kerana dapat memungut tiga mata penuh.

"Kehadiran Kane dalam pasukan sangat penting, dia merupakan penyerang utama kami dan dalam kalangan penyerang terbaik di dunia."

Kane menegaskan Tottenham harus mengambil kemenangan ini sebagai momentum dalam perlawanan 'harus menang' ketika bertemu Monaco untuk memastikan mereka terus beraksi di pentas Liga Juara-Juara musim ini.

"Ia merupakan kemenangan yang sangat menakjubkan," kata Kane kepada BT Sport.

"Kami bakal menghadapi perlawanan yang penting minggu ini. Kemenangan ini akan memberikan keyakinan kepada pasukan untuk menghasilkan kejayaan."