Pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, percaya bahawa masa depan penyerangnya, Harry Kane, bukan bergantung kepada jumlah kejuaraan yang diraih dan yakin anak buahnya itu akan kekal lama bersama pasukan.

Kane telah membuktikan statusnya sebagai salah seorang penyerang terbaik di dunia selepas memenangi anugerah Kasut Emas Liga Perdana Inggeris (EPL) dua musim berturut-turut setelah menjaringkan 25 dan 29 gol.

Selepas permulaan yang perlahan pada musim ini, penyerang berusia 24 tahun itu akhirnya menamatkan penantian untuk menjaringkan gol selepas dua kali menghasilkan jaringan ketika menentang Everton dalam aksi liga, sebelum menambah dua gol lagi dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Borussia Dortmund di Wembley.

Bekas pengurus Spurs, Tim Sherwood, mengandaikan penyerang England itu akan berpindah sekiranya menamatkan saingan kali ini tanpa sebarang trofi, namun bingkas dinafikan oleh pengendali dari Argentina itu.

“Orang ramai sering bercakap tentang Kane memenangi piala, bermaksud kami harus memenangi piala untuk memastikan Kane bersama kami tetapi ramai tidak sedar akan nilai padanya. Dia adalah salah seorang penyerang terbaik yang beraksi untuk Spurs ketika kami masih belum memenangi sebarang kejuaraan.

“Saya ingin mengingatkan anda, Kane adalah seorang pemain yang cintakan Spurs dan akan kekal di sini. Dia mahu bersama pasukan untuk tempoh masa yang lama,” kata Pochettino.

Kane muncul pemain tunggal dari England yang dinamakan dalam senarai akhir 55 pemain bagi merebut anugerah Kesebelasan Terbaik Dunia FIFPro pada Rabu ini dan perkara itu menguatkan fakta bahawa dirinya adalah penyerang bertaraf dunia.

“Dia satu-satunya pemain dari England. Saya sudah memberitahu bahawa Kane adalah salah seorang penyerang terbaik dunia dan ini adalah pengesahannya,” tambahnya.