Bekas kapten Manchester United, Wayne Rooney, percaya bintang Spurs, Harry Kane, berkemungkinan meninggalkan Tottenham untuk menjuarai gelaran.

Kane – dikaitkan dengan Real Madrid – membuktikan dirinya sebagai salah seorang penyerang berbisa di Eropah selepas memenangi Kasut Emas buat dua musim berturut-turut.

Pemain berusia 24 tahun itu kini menduduki carta teratas senarai penjaring dengan 22 gol selepas meledak gol ke-100 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika pasukannya seri 2-2 dengan Liverpool semalam.

Tottenham, yang menghuni tangga kelima dan di luar daripada saingan Liga Juara-Juara (UCL), menamatkan saingan di tempat kedua musim lalu tetapi Rooney memberikan amaran mengenai motivasi Kane untuk menghasilkan gol demi menjuarai gelaran.

"Buat masa ini, dia masih lagi penyerang terbaik di Eropah," kata Rooney.

"Dia boleh pergi ke mana dia mahu. Dia seperti Alan Shearer yang muda. Dia mampu menjaringkan gol dengan apa cara sekalipun.

"Masalahnya adalah Tottenham perlu seiring dengan sasarannya -- mengubah jaringannya kepada trofi kejuaraan.

"Jika Tottenham tidak menang apa-apa tahun depan, dia akan mengambil keputusan untuk berhijrah," katanya.