Sifat tidak pernah mengaku kalah mungkin mampu membantu Arsenal menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini selepas melakar kemenangan dramatik 2-1 ke atas Burnley, semalam.

The Gunners mendahului menerusi Shkodran Mustafi pada minit ke-59 -- gol sulung buat Arsenal -- di Stadium Emirates, sebelum Granit Xhaka dibuang padang enam minit kemudian.

Pengadil, Jon Moss, kemudiana menambah tujuh minit masa kecederaan susulan Dean Marney mengalami kecederaan serius sebelum menghadiahkan Burnley sepakan penalti yang disempurnakan Andre Gray pada minit ke-93.

Tatkala perlawanan hampir pasti berkesudahan 1-1, Jon Moss kemudian membuat keputusan dramatik apabila menghadiahkan sepakan penalti kepada Arsenal di hujung perlawanan yang mudah disempurnakan Alexis Sanchez untuk memberi tiga mata kepada pasukan tuan rumah.

Kemenangan itu memberi makna besar kepada Arsenal apabila mereka kini menghuni tangga kedua liga menjelang aksi berdepan Chelsea pada 4 Februari depan.

"Kami mendominasi permainan pada babak pertama dan tiba-tiba kami beraksi dengan 10 pemain," Mustafi memberitahu Sky Sports.

"Senario itu menyukarkan kami tetapi kami terus bertahan.

"Walaupun Burnley menyamakan kedudukan, kami tidak mengaku kalah dan terus bangkit. Saya perlu mengucapkan terima kasih kepada setiap pemain."

Mustafi kekal sebagai individu yang membawa tuah buat Arsenal apabila mereka tidak pernah tewas ketika pemain Jerman itu -- sejak tiba dari Valencia, Ogos lalu -- turun beraksi.

"Saya berharap akan ada lagi perlawanan di mana kami tidak akan tewas," katanya.