Kapten Arsenal, Granit Xhaka, mengakui pasukannya tidak memiliki kekuatan mental yang mencukupi selepas terikat 2-2 dengan Watford lewat malam tadi.

The Gunners hampir pasti meraih tiga mata dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Vicarage Road itu apabila Pierre-Emerick Aubameyang menjaringkan gol berganda yang berselang 11 minit dalam separuh masa pertama.

Namun, Tom Cleverley merapatkan jurang itu dalam babak kedua dengan memanfaatkan kesilapan hantaran Sokratis Papastathopoulos sebelum pemain gantian, Roberto Pereyra, menjaringkon gol penyamaan menerusi sepakan penalti selepas dijatuhkan oleh David Luiz pada sembilan minit terakhir perlawanan.

Xhaka berasakan pasukannya "terlalu takut" sambil mendakwa sebahagian pemain Arsenal tidak mahu menyerlah dalam perlawanan itu.

"Kami amat kecewa. Kami memiliki separuh masa pertama yang amat baik dan kemudian beraksi dengan amat buruk dalam babak kedua untuk dihukum," katanya kepada BBC Sport.

"Kami sedar mereka tiada apa untuk disesalkan dan pasti akan menyerang habis-habisan tetapi kami tidak menunjukkan permainan sebenar.

"Kami terlalu takut, tiada siapa mahukan bola.

"Setiap pasukan dalam Liga Perdana mempunyai kekuatan untuk menjaringkan gol, jadi anda perlu kekal tenang dan menguatkan mental tetapi kami tidak," katanya.

Arsenal perlu menyalahkan diri sendiri di atas kegagalan itu dengan Sokratis kehilangan bola untuk membolehkan Watford meraih jaringan pertama.

Xhaka, yang dijangka akan diumumkan sebagai kapten tetap pasukannya minggu depan, berkata kepada Sky Sports: "Kesilapan boleh berlaku tetapi ia bukan alasan.

"Kami perlu melakukan lebih baik dalam perlawanan akan datang.

"Bukan situasi itu yang membuatkan kami kehilangan mata tetapi keseluruhan separuh masa kedua.

"Kami perlu bersyukur kerana meraih satu mata.

"Kami sedar mereka akan menekan kami dan kami sepatutnya menunjukkan perwatakan yang lebih besar dan tidak berasa takut.

"Kami sudah berbincang mengenainya. Kami tidak boleh memberikan persembahan seperti itu dalam separuh masa kedua," tambahnya.

Arsenal seterusnya akan bertandang ke laman Eintracht Frankfurt bagi saingan Liga Europa, Khamis ini sebelum bertemu Aston Villa dalam Liga Perdana, hujung minggu ini.