CRYSTAL PALACE 1 SWANSEA 2

Sam Allardyce tidak berpuas hati apabila sepakan penalti tidak diberikan kepada Christian Benteke ketika Crystal Palace tewas 2-1 di laman sendiri ketika bertemu Swansea City.

Palace dilihat bakal meraih satu mata selepas Wilfried Zaha menidakkan gol pendahuluan Swansea yang dihasilkan oleh Alfie Mawson di Selhurst Park.

Tetapi Angel Rangel memastikan Swansea meraih tiga mata penuh di penghujung perlawanan bagi meneruskan saingan untuk keluar daripada zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Allardyce, yang masih lagi belum mencatat sebarang kemenangan sebagai pengurus Palace, membidas pemain-pemain kerana gagal mengikuti arahannya dan pengadil perlawanan, Paul Tierney, yang tidak memberikan sepakan penalti kepada Palace.

"Kami patut meraih sepakan penalti, saya marah kerana pengadil tidak memberikannya kepada kami," kata Allardyce. "Ia mampu membantu kami bertahan sehingga penghujung musim.

"Kami menyedari tahap kecergasan pemain sebelum perlawanan bermula, mungkin saya telah membariskan pemain yang salah, saya sepatutnya melakukan empat atau lima pertukaran.

"Penat ataupun tidak, anda harus berjuang di atas padang. Kami gagal bermain dengan baik pada separuh masa pertama. Saya berharap kami akan memperbaiki keputusan dalam perlawanan akan datang."