Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, meminta anak buahnya untuk menerima segala kritikan berikutan kekalahan mengejut 2-0 kepada Hull City dalam aksi Liga Perdana Inggeris, malam tadi.

Gol menerusi Alfred N'Diaye dan Oumar Niasse memberikan kekalahan kedua selepas tiga perlawanan dalam saingan liga buat Liverpool, dengan mereka kini hanya menang satu daripada 10 perlawanan dalam kesemua kejohanan.

Liverpool akan terkeluar daripada kedudukan empat teratas jika Manchester City menewaskan Swansea City hari ini tatkala kemenangan 3-1 Chelsea ke atas Arsenal bermakna skuad kendalian Klopp kini ketinggalan 13 mata di belakang pendahulu itu.

Meskipun menegaskan Liverpool kini berdepan cabaran besar untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara Eropah musim depan, Klopp mengakui pasukannya layak dikecam selepas aksi hambar di Stadium KCOM.

"Kami perlu lebih konsisten," dia memberitahu sidang media. "Liga Juara-Juara Eropah merupakan sasaran yang besar, banyak pasukan yang mengidam beraksi dalam kejohanan itu.

"Untuk melayakan diri ke UCL di England amat sukar kerana terdapat banyak pencabar tetapi kami tidak perlu bercakap tentang persembahan hari ini.

"Dalam masa beberapa hari lagi, kami akan mendapat peluang untuk membuktikan bahawa kami bersedia untuk semua perlawanan.

"Jika kami menang 2-1 sekalipun, saya tidak akan berpuas hati dengan aksi dalam babak pertama. Kami perlu menerima segala kritikan. Kamu boleh tulis apa yang kamu mahu ketika ini."

Klopp berasakan anak buahnya ada mempamerkan kebangkitan dalam babak kedua tetapi mengakui mereka sukar menerima senario ketika Hull berjaya meledak gol menerusi sepakan penjuru dan serangan balas yang mudah.

"Saya mahu pemain saya beraksi dengan lebih baik," ujar Klopp. "Sebelum ini kami mampu mempamerkan aksi konsisten, kami perlu mengubah perkara itu.

"Kami mudah memberikan gol kepada lawan. Kami tidak bermain seperti yang sepatutnya dalam babak pertama."