Jose Mourinho kecewa Manchester United gagal mengutip tiga mata berdepan Liverpool yang didakwanya turun dengan corak bertahan.

Liverpool meninggalkan Old Trafford dengan keputusan 1-1, namun pasukan tuan rumah hanya menyamakan kedudukan di hujung perlawanan dengan Zlatan Ibrahimovic menanduk masuk golnya yang ke-10 dalam Liga Perdana Inggeris musimi ini.

James Milner meletakkan Liverpool di depan pada babak pertama hasil sepakan penalti yang berpunca daripada Paul Pogba, namun Mourinho berkata mereka sepatutnya menang perlawanan itu.

"Perlawanan yang menghiburkan tetapi kurang kualiti," kata Mourinho kepada Sky Sports. "Kedua-dua pasukan sepatutnya beraksi dengan lebih baik.

"Ia menghiburkan kerana kami mencipta banyak peluang. Liverpool bertahan dengan baik dan ia satu perkembangan positif untuk melihat mereka bertahan dengan ampuh.

"Kami mengubah corak permainan kerana Liverpool memberi tekanan kepada pemain saya. Kami mula mengubah taktikal dan mula mencipta masalah.

"Kami menyerang dan Liverpool bertahan. Saya rasa kami sepatutnya menang dalam perlawanan ini, tetapi kami perlu terima keputusan ini.

"Mereka menamatkan rekod sembilan kemenangan berturut-turut kami tetapi mereka tidak mengekang rekod tanpa kalah kami."

Sementara itu, Mourinho menjelaskan dia membawa masuk Marouane Fellaini kerana mahu mengambil kesempatan terhadap jentera pertahanan Liverpool yang kehilangan beberapa tonggak.

"Semua kena tahu kemampuan sebenar Fellaini," jelas Mourinho kepada BBC Radio 5 Live. "Moruane seorang pemain yang hebat.

"Saya melihat terlalu ramai pemain Liverpool yang bertahan, jadi saya menurunkan Fellaini kerana mahu menggugat pertahanan mereka."