Jurgen Klopp menekan perlunya Liverpool meletakkan fokus penuh terhadap keputusan dan mengabaikan sebarang tekanan untuk memberi persembahan menghiburkan sambil menegaskan: "Kami bukannya Harlem Globetrotters".​

Itu laungan Klopp selepas anak buahnya menampilkan aksi memukau untuk menewaskan Leicester City 3-2 dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Kemenangan ke atas The Foxes itu berjaya menamatkan rentetan empat perlawanan tanpa kemenangan buat The Kop, sekaligus meredakan tekanan yang semakin memuncak buat bekas pengendali Borussia Dortmund itu.

"Saya tahu banyak tekanan yang dirasai dalam kem Liverpool, saya sendiri mengalaminya di dalam hidup atas beberapa sebab.

"Jika sesuatu tekanan itu tiba tepat pada waktunya, ia pasti akan membantu. Ia juga boleh menjadi sebagai penghalang dan saya sentiasa dapat mengatasinya.

"Anda boleh bayangkan bahawa kami dahagakan kejayaan. Kami tahu kualiti yang kami miliki membuatkan kami perlu berjaya. Saya sedar tentang perkara itu.

"Saya suka melihat bagaimana kami berjuang untuk mendapatkan keputusan yang bagus. Ia sepatutnya menjadi semakin baik. Selepas beberapa perlawanan tanpa kemenangan, anda harus bertarung dengan sepenuh hati untuk mendapatkan keputusan yang positif," kata Klopp.

Liverpool bakal bertandang ke Russia untuk menentang Spartak Moscow dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah pada Selasa ini dan kemenangan pastinya diraih selepas sekadar seri 2-2 dalam aksi pembukaan bertemu Sevilla.