Mauricio Pochettino memberikan kata-kata semangat kepada pemain Tottenham bahawa mereka boleh memintas Chelsea dalam persaingan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), musim ini.

Skuad kendalian Antonio Conte kekal menerajui takhta EPL tetapi kekalahan 2-1 di laman sendiri ketika bertemu Crystal Palace membuka semula persaingan merebut gelaran liga.

Kekalahan tersebut menjadikan perbezaan mata di antara Chelsea dan Spurs hanya tujuh mata dengan berbaki sembilan perlawanan.

Pochettino cuba untuk terus memberikan kata-kata positif bahawa mereka mampu melakukannya musim ini dan bersedia untuk berusaha sehingga penghujung musim jika Chelsea kalah sekali lagi.

"Di dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku," kata Pochettino.

"Ia adalah satu pengajaran yang baik buat kita semua. Kepercayaan adalah satu perkara yang penting di dalam bola sepak.

"Kami perlu kekal fokus sehingga penghujung musim ini dan menyedari betapa sukarnya saingan liga ini. Anda perlu memenangi setiap perlawanan.

"Tetapi bolehkah kami mengejar Chelsea? Ya, kami boleh. Kami boleh melakukannya jika meletakkan impian kami dan memberikan yang terbaik."