Pemain tengah Manchester City, Fernandinho, mengakui mereka kini bergelut untuk mencapai tahap intensiti sepertimana dimahukan pengendali, Pep Guardiola.

Permulaan 100 peratus kemenangan di bawah Guardiola, berdepan jalan berliku apabila terikat seri 3-3 dengan Celtic dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.

The Citizens telah merekodkan 10 kemenangan berturut-turut musim ini, namun tiga kali ketinggalan berdepan Celtic pada Rabu.

Fernandinho, yang meledak gol penyamaan di Celtic Park, mengakui sukar untuk mereka mengekalkan intensiti tinggi, termasuk memberi tekanan sepanjang tempoh 90 minit seperti yang dimahukan Guardiola.

"Kami sedang bekerja keras setiap hari dengan tahap intensiti yang cukup tinggi bukan sahaja ketika hari perlawanan, malah ketika sesi latihan.

"Bukan mudah untuk mengekalkan prestasi yang sama, kadang-kala kami mampu dan kadang-kala tidak, apatah lagi bersaing dalam Liga Perdana Inggeris.

"Ketika berdepan Celtic, terutama pada babak pertama, kami sering hilang fokus.

"Saya harap kami semua mampu mencapai tahap seperti dimahukan Guardiola.

"Kami cuba untuk menang semua perlawanan tetapi kami tidak bernasib baik untuk bolos tiga kali."

City akan bertandang ke London pada Ahad untuk berdepan Tottenham Hotspur dan Fernandinho mengakui mereka tidak boleh mengulangi kesilapan sama.