CHELSEA 3 WEST BROM 0

Eden Hazard menggesa Chelsea agar meneruskan pemburuan kejuaraan selepas mereka kembali di landasan kemenangan ketika membenam West Brom dalam aksi Liga Perdana, awal pagi tadi.


Hazard menjaringkan dua gol menarik manakala Victor Moses melengkapkan kemenangan 3-0 di Stamford Bridge itu pada minit ke-63.

Kekalahan besar kepada Bournemouth dan Watford meninggalkan juara bertahan itu di luar kelompok empat teratas, dan tatkala persoalan masa depan Antonio Conte sebagai pengurus terus berlegar, Hazard bagaimanapun percaya Chelsea menunjukkan watak yang diperlukan untuk mengatasi permulaan goyah berbanding anak buah Alan Pardew.

"Kami tewas dua kali, namun kini kami kembali, kami adalah Chelsea, kami adalah juara, kami perlu memberikan segala-galanya," ujar pemain berusia 27 tahun itu kepada Sky Sports selepas melangkaui 15 gol musim ini.

"Kadang-kadang ia berlaku, anda menang dan kalah. Musim lalu kami menjadi juara. Perkara yang paling penting ialah bekerja bersama, bercakap bersama dan itulah yang kami lakukan.

"Kami mempamerkan watak yang hebat ketika menyerang dan bertahan," katanya.

Hazard menerima pujian daripada pembantu jurulatih Belgium dan bekas pemain Arsenal, Thierry Henry, yang menggalakkannya untuk merakamkan lebih banyak gol lagi.

"Gol kedua itu, apabila saya masuk ke dalam (dari sebelah sayap), Thierry memberitahu, dalam pasukan kebangsaan mungkin saya tidak cukup merembat," katanya.

"Seperti yang anda lihat ketika menentang Watford, saya menjaringkan gol ketika dalam keadaan yang sama. Ia hadir menerusi naluri. Anda tidak berfikir banyak, anda hanya fikirkan tentang persembahan," ujarnya.

Seterusnya, Chelsea akan menghadapi Hull City dan Barcelona dalam Piala FA dan Liga Juara-Juara (UCL) di tempat sendiri.

Untuk itu Hazard berasakan kini adalah masanya untuk menyelamatkan musim mereka yang mengecewakan -- seperti mengejar kedudukan pendahulu Liga Perdana, Manchester City.

Tambahnya: "Saya fikir kami perlu berada di empat teratas untuk Liga Juara-Juara dan jika boleh, merampas Piala FA.

"Kami mempunyai banyak baki permainan lagi. Tidak mudah untuk memenangi UCL tetapi kami akan berjuang untuk segala-galanya.

"Kami mempunyai pasukan dan pemain yang bagus. Bermain untuk Chelsea adalah untuk memenangi trofi," tegasnya.