Penjaga gol legenda Jerman dan Bayern Munich, Oliver Kahn, menyesal tidak mengambil berpeluang untuk menyertai Manchester United.

Kahn menyertai Bayern dari Karlsruher pada 1994 dan menghabiskan 14 tahun berikutnya bersama gergasi Bundesliga berkenaan dengan memenangi lapan gelaran liga, enam DFB-Pokal dan Liga Juara-Juara (UCL) 2001.

Bekas pemain berusia 48 tahun itu juga berada di gawang yang menyaksikan kemenangan luar biasa United dalam final UCL 1999.

Ketika di penghujung kerjayanya, Kahn diberi peluang untuk menyertai Red Devils oleh pengurus, Alex Ferguson, tetapi dia memilih untuk menghabiskan kariernya di Bayern, satu keputusan yang disesalinya sehingga kini.

"Alex Ferguson masih keliru dengan saya," kata Kahn kepada Bild. "Dia yakin saya akan menyertai Manchester United pada 2003 atau 2004 tetapi membina era di Bayern lebih penting kepada saya.

"Menyorot ke belakang, saya percaya bahawa saya sepatutnya melakukannya semula. Ia merupakan satu cabaran besar buat saya.

"Bagi saya, adalah lebih menarik untuk membentuk satu era dengan sebuah pasukan," katanya.

Mengulas kejayaan United dalam perlawanan akhir UCL 1999, dia secara berseloroh dengan berkata: "Dalam ingatan saya, saya menganggap perlawanan menentang Manchester United itu berakhir dengan kemenangan," kata Kahn.

"Saya sudah memadamkan dua minit terakhir itu."