Jose Holebas dibenarkan beraksi dalam perlawanan akhir Piala FA selepas FA England membenarkan rayuan Watford terhadap kad merah yang diterimanya ketika berdepan West Ham, Ahad lalu.

Pemain antarabangsa Greece itu diperintahkan keluar padang dalam kekalahan 1-4 itu selepas pengadil, Chris Kavanagh, mendapati pertahanan kiri itu menafikan larian Michail Antonio dalam satu peluang untuk menjaringkan gol pada minit ke-48.

Lantas, hukuman itu akan menyebabkan dia tersisih daripada pertembungan Piala FA dengan juara Liga Perdana, Manchester City, di Wembley, awal pagi Ahad ini tetapi kad merah itu dibatalkan oleh suruhanjaya bebas pengawalseliaan.

Holebas telah membuat 31 penampilan bersama Watford musim ini dengan menyumbat tiga gol dan menghasilkan enam bantuan gol.