TOTTENHAM 3 WIMBLEDON 0

Mauricio Pochettino menyifatkan kejayaan menjulang trofi menjadi kunci utama buat Tottenham memastikan Harry Kane tidak berhijrah.


Dua gol penting daripada Kane menyaksikan Spurs menyingkirkan AFC Wimbledon 3-0 dalam pusingan ketiga Piala FA, semalam.

Pemain kebangsaan England itu tidak dijangka turun beraksi di Wembley tetapi mengetuai pasukan dan menjaringkan dua gol dalam tempoh 111 saat selepas pasukan lawan menguji barisan pertahanan Spurs.

Perpindahan Philippe Coutinho bernilai GBP142 juta (RM770 juta) dari Liverpool ke Barcelona menjadi perbualan utama selepas bintang England itu turut dikaitkan dengan penghijrahan ke Real Madrid sejak kebelakangan ini.

Spurs, yang dilihat tidak mampu mengejar Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), dijangka memberikan tentangan hebat jika berjaya mara ke separuh akhir dan kehadiran Kane di dalam skuad memainkan peranan penting.

"Saya berasakan Kane adalah pemain yang istimewa. Dia amat menyukai beraksi di Tottenham," kata Pochettino.

"Tetapi kami perlu berhati-hati dalam usaha memastikannya kekal bersama pasukan. Kami tidak mahu memaksa, sebaliknya mahu pemain ini memilih untuk kekal bersama kami.

"Tugas kami adalah berusaha bersama-sama dan mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Kane adalah pemain yang istimewa, memiliki persamaan dengan legenda Roma dan Itali, Francesco Totti.

"Hanya beberapa pemain yang kekal bersama kelab sepanjang karier dan Kane dilihat mampu melakukannya," tambahnya.