Jurgen Klopp bersyukur kerana memiliki kontrak jangka panjang bersama Liverpool tetapi menyedari perlu membantu The Reds menjulang piala jika mahu kekal di Anfield.

Pengendali dari Jerman itu masih menantikan trofi pertamanya di England selepas meningkatkan mutu permainan Liverpool sejak tiba pada Oktober 2015.

Pemecatan Claudio Ranieri oleh Leicester City membuat Klopp tersentak, dengan beliau menegaskan menjulang piala merupakan tiket untuk memastikan beliau kekal bersama pasukan.

"Saya tidak memiliki pengalaman untuk menghasilkan kejayaan di dalam tempoh yang singkat," kata Klopp.

"Saya sentiasa memiliki kontrak jangka panjang bersama pasukan yang saya kendalikan.

"Liverpool mahu mendapatkan seorang jurulatih untuk jangka masa panjang tetapi segala-galanya bergantung kepada pencapaian mereka.

"Jika kami gagal untuk memenangi apa-apa atau beraksi di pentas yang lebih tinggi buat masa akan datang, ia akan menyukarkan saya dan pasukan.

Selepas mengendalikan Liverpool kurang daripada setahun, Klopp menandatangani kontrak untuk memastikannya kekal bersama pasukan sehingga tahun 2022.