BOURNEMOUTH 4 CHELSEA 0

Bournemouth menjadikan pemain tengah Chelsea, Jorginho, sebagai sasaran untuk membelasah pasukan bimbingan Maurizio Sarri itu 4-0, menurut Josh King.


Dua gol dalam babak kedua daripada King disusuli jaringan David Brooks dan Charlie Daniels mencalarkan maruah Chelsea di Stadium Vitality, awal pagi tadi.

Kekalahan itu dilihat mencetuskan persoalan baru mengenai keserasian gaya permainan yang diterapkan Sarri dan ia membuktikan satu lagi sentuhan hambar daripada Jorginho.

Bercakap selepas perlawanan itu, King mengesahkan Bournemouth menggunakan Brooks untuk mengunci pergerakan perancang Chelsea berkenaan yang menjadi titik tolak kemenangan mereka.

"Kami sedar kami perlu mematikan permainan Jorginho," katanya. "Brooksy melaksanakan tugasan yang hebat, lebih-lebih lagi selepas Junior (Stanislas) dan (Brooks) dikeluarkan.

"Dalam 20 minit pertama permainan, percaturan kami tidak begitu menjadi. Pengurus mengingatkan kami tentang taktikalnya sebaik seorang pemain mengalami kecederaan.

"Saya tidak fikir Jorginho dapat melakukan banyak sentuhan dan gembira dengan aksinya hari ini. Ia satu pelan hebat daripada pengurus dan kami telah melaksanakannya dengan baik."

Howe menyertai King untuk memuji keberkesanan Brooks yang menamatkan aksi hebatnya pada minit ke-68 akibat kecederaan.

"Ia peranan yang sangat penting," katanya mengenai usaha pemain Wales itu mengekang Jorginho.

"Kami perlu membuat pelarasan taktikal memandangkan pada awalnya, perlawanan tidak berjalan seperti yang kami hajati.

"David melakukan tugas yang cemerlang, dia masih mentah tetapi dia rajin bertahan dan mempamerkan keupayaannya di depan gol."