"Seperti impian menjadi kenyataan," kata penyerang terbaru Manchester City, Gabriel Jesus, yang menyedari dia perlu menyesuaikan dirinya dengan cepat jika mahu menyerlah dalam Liga Perdana Inggeris.

Pep Guardiola membawa masuk Jesus dari bangku simpanan pada minit ke-82 ketika berdepan Tottenham yang berkesudahan 2-2 dan pemain berusia 19 tahun itu hampir mencipta impak serta-merta apabila berjaya meletakkan bola di gawang lawan sebelum pengadil meniup ofsaid.

"Saya gembira dengan peluang diberikan untuk beraksi di laman sendiri," Jesus memberitahu ESPN Brasil.

"Saya tidak berpuas hati dengan keputusan seri ini kerana kami mendominasi perlawanan.

"Saya masih dalam proses menyesuaikan diri di England. Bola sepak di sini cukup pantas dan jauh berbeza ketika di Brazil. Saya perlu menyesuaikan diri dengan cepat.

"Saya tidak bernasib baik kerana berada di kedudukan ofsaid ketika melakukan jaringan, seluruh stadium terdiam ketika saya meraikan gol tersebut.

"Namun, ia satu impian dapat beraksi dalam Liga Perdana Inggeris."