Gabriel Jesus tidak memerlukan pembedahan selepas bintang Manchester City itu dilanda kecederaan kecil di bahagian ligamen lutut dan ia "tidak terlalu buruk".

Kelibat pemain muda Brazil itu mencuri perhatian pada babak pertama ketika City seri 0-0 di Crystal Palace, Ahad lalu, apabila kakinya secara tidak sengaja terkangkang.

Walaupun dia tidak perlu diusung keluar, Jesus melangkah keluar dari padang dengan menahan air mata sehingga mendorong jurulatih, Pep Guardiola, berkata selepas perlawanan itu bahawa pemainnya itu mungkin berehat selama dua bulan.

Semalam, City mengesahkan Jesus telah mengalami kerosakan MCL (medial cruciate ligamen) dan tidak lama selepas itu, pemain itu menggunakan akaun Instagram rasminya untuk mendedahkan kebimbangannya.

Kenyataannya berbunyi: "Hari ini saya menjalani pemeriksaan lutut kiri dan ia didapati hanya kecederaan kecil MCL!

"Mujur ia tidak terlalu buruk dan saya tidak perlu menjalani prosedur pembedahan. Saya berjanji untuk kembali secepat mungkin!

"Terima kasih buat semua peminat yang memberi sokongan dan kata-kata yang positif! Selamat Tahun Baru! 2018 akan menjadi tahun saya!"