Pemain legenda Brazil, Rivaldo, berpendapat Gabriel Jesus bakal melakar sejarah baru dalam Liga Perdana Inggeris selepas menyempurnakan perpindahan ke Manchester City dari Palmeiras.

City mempersembahkan pemain berusia 19 tahun itu secara rasmi pada Khamis selepas berjaya mendapatkan khidmat pemain itu Ogos lalu.

Pemain antarabangsa Brazil itu dijangka membuat penampilan pertama berdepan Tottenham Hotspur esok.

Ketibaan Jesus dilihat mampu menjadi penyelamat City yang ketika ini menghuni tangga kelima Liga Perdana Inggeris susulan dimalukan Everton 4-0 minggu lalu di Goodison Park.

Rivaldo, bagaimanapun, percaya pemain muda itu mampu menjadi antara tonggak utama skuad kendalian Guardiola, namun mahu penyokong kelab itu memberikan masa agar pemain itu dapat menyesuaikan diri terlebih dahulu.

"Dia pemain masa depan," kata Rivaldo, yang bercakap di majlis Betfair, kempen #MagicofBarca.

"Dia baru berusia 19 tahun, dan sudah pun beraksi di England di mana seperti semua sedia maklum adalah liga yang amat sukar. Bukan mudah untuk melakukannya, jadi dia perlukan masa.

"Tetapi saya tahu dia mampu mencipta nama di England kerana dia seorang pemain yang hebat.

"Penyokong City perlu bersabar dengan perkembangan Jesus tetapi sepertimana yang saya saksikan di Brazil, dia seorang pemain yang hebat."