Bintang Arsenal, Mesut Ozil, diketepikan untuk tugasan antarabangsa bersama skuad Jerman sempena menghadapi San Marino dan Itali, bulan ini.

Pemain tengah yang berada di prestasi terbaik itu diberikan rehat oleh ketua jurulatih, Joachim Low, untuk perlawanan Kelayakan Piala Dunia di Serravalle pada 11 November, sebelum berdepan Itali empat hari kemudian.

Low mengelak daripada terlalu membebani tonggak utamanya yang tidak akan berehat pada musim sejuk nanti seperti mana yang dinikmati pemain-pemain dalam Bundesliga, dengan pemain Real Madrid, Tony Kross, dan pemain tengah Juventus, Sami Khedira, dijangka hanya akan tampil dalam salah satu perlawanan sahaja, sementara Ozil langsung tidak tersenarai.

"Pemain dari liga-liga besar tidak mempunyai tempoh rehat musim sejuk seperti dalam Bundesliga. Jadi, ini adalah berita baik bagi memberi ruang kepada mereka untuk berehat," terang Low mengenai keputusannya menggugurkan Ozil.

"Kami bukannya angkuh terhadap San Marino, kami akan memberi tumpuan penuh dan serius terhadap tugasan kami. Bagi mereka, perlawanan menentang juara dunia adalah sesuatu yang istimewa.

"Itali adalah sebuah pasukan gergasi tradisi dalam bola sepak. Sudah tentu, mereka adalah musuh hebat kami. Ini adalah perlawanan yang dinanti-nantikan.

"Kami pasti mereka akan bermotivasi. Bagi kami, keputusan adalah perkara kedua. Kami berpeluang untuk mencuba sesuatu."

Pemain muda Bayer Leverkusen, Benjamin Henrichs, Yannick Gerhard (Wolfsburg) dan Serge Gnabry (Werder Bremen) disenaraikan buat julung kalinya.

"Kami mahu melihat Serge Gnabry, Yannick Gerhardt dan Benjamin Henrichs. Persembahan baik mereka beberapa bulan ini mendapat perhatian."

Leroy Sane, Andre Schurrle dan Antonio Rudiger turut tersisih kerana masih bergelut dengan kecergasan.