Pengerusi kelab Swansea, Huw Jenkins, mengesahkan mereka hampir membawa kembali bekas pengendali Liverpool, Brendan Rodgers, pada 2016.

Rodgers membantu Swansea menempah slot ke Liga Perdana Inggeris (EPL) pada tahun pertamanya mengendalikan pasukan tersebut di samping menamatkan saingan EPL di tangga ke-11 pada musim 2011-12.

Pengendali kelahiran Ireland Utara itu kemudian berpindah ke Liverpool tetapi Jenkins telah berbincang dengan Rodgers selepas beliau meninggalkan Anfield untuk dibawa masuk semula pada pertengahan musim 2015-16.

Bagaimanapun, Francesco Guidolin dilantik menggantikan Gary Monk dengan kontrak selama dua tahun manakala Rodgers berhijrah ke Celtic, lantas mencipta kejayaan domestik pada musim lalu.

Guidolin dipecat selepas lima bulan, dengan Bob Bradley dan Paul Clement merupakan penggantinya yang turut dipecat sebelum digantikan oleh Carlos Carvalhal yang mengambil alih tugas tersebut, Khamis lalu.

"Penyesalan terbesar saya adalah tidak membawa masuk Rodgers dengan berapa banyak pun (wang) yang perlu dihabiskan," kata Jenkins.

"Saya tidak akan berselindung mengenai perkara ini. Saya percaya jika kelab mendapatkan Rodgers, kami tidak akan mengalami situasi ini."

Jenkins juga merupakan individu yang bertanggungjawab terhadap kehilangan tonggak utama seperti Gylfi Sigurdsson dan Fernando Llorente kepada Everton dan Tottenham, sekaligus menjadi punca mereka kekurangan bilangan gol dan menghuni tangga tercorot liga.

Kehadiran nama-nama baru seperti Sam Clucas, Wilfried Bony, Roque Mesa dan Renato Sanches daripada hasil penjualan Sigurdsson juga gagal memberikan impak.