Jose Mourinho mengesahkan Paul Pogba telah dilucutkan daripada jawatan timbalan ketua pasukan di Manchester United, namun menegaskan hubungan mereka tidak retak.

Laporan mula tersebar sebelum penyingkiran mengejut United menerusi penentuan penalti 8-7 kepada Derby County dalam kempen Piala Liga Inggeris (EFL), awal pagi tadi dengan Pogba -- yang direhatkan -- telah dibebaskan daripada memegang peranannya.

Pemenang Piala Dunia 2018 bersama Perancis itu telah mengetuai United sebanyak tiga kali musim ini ketika ketiadaan Antonio Valencia, termasuk aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Leicester City.

Keputusan Mourinho untuk memberikan lilitan kapten kepada Pogba dalam pertembungan tersebut didorong oleh usaha Barcelona yang cuba memancing pemain berusia 25 tahun itu.

Bagaimanapun, pemain tengah itu telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang dianggap ditujukan kepada Mourinho musim ini selepas mereka seri 1-1 dengan Wolves, Sabtu lalu, dan pengendali Portugis itu mengesahkan laporan tersebut sejurus tamat perlawanan dengan Derby.

Beliau memberitahu Sky Sports: "Satu-satunya kebenarannya ialah saya memutuskan Pogba tidak akan menjadi timbalan ketua pasukan. (Tiada) keretakan dalam hubungan kami.

"Orang yang membuat keputusan untuk melantik timbalan kapten adalah saya, ia satu keputusan yang tidak perlu saya jelaskan."

Selepas kemenangan United ke atas Leicester, Pogba mendakwa dia akan didenda seandainya mengulas mengenai situasi di kelab itu, bahkan mengakui sikapnya adalah tidak tepat dalam kekalahan 2-3 kepada Brighton & Hove Albion.

Komen terbaru Pogba, Isnin lalu, menyaksikan dia mempersoalkan pendekatan taktik Mourinho apabila dia menuntut United untuk "menyerang, menyerang, menyerang" ketika bermain di laman sendiri meskipun menegaskan kenyataannya itu telah disalahertikan.

Laporan media mendakwa Pogba tidak akan mendesak perpindahan pada Januari nanti, namun dikatakan bersedia untuk mempertimbangkan pilihannya lagi pada penghujung musim.