CRYSTAL PALACE 1 WATFORD 2

Javi Gracia menganggap jaringan kemenangan Tom Cleverley "menakjubkan" selepas Watford bangkit untuk menewaskan Crystal Palace 2-1 di Selhurst Park, semalam.


Hadir sebagai pemain gantian, Cleverley melengkapkan kebangkitan Watford menerusi rembatan voli, jaringan pertamanya sejak Oktober 2017.

Perlawanan di antara kedua-dua pasukan terikat hingga penghujung permainan selepas Craig Cathcart kembali mengikat jaringan selepas memberikan gol sendiri buat lawan dalam babak pertama.

Watford kini menghuni tangga ketujuh, dengan persembahan Cleverley menjadi buaan utama walaupun tidak tampil dalam kesebelasan utama bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini ketika dalam usaha untuk kembali mendapatkan tahap kecergasannya ekoran mengalami kecederaan buku lali sebelum ini.

Ditanya jika beliau telah melakukan percaturan tepat menurunkan Cleverley dari bangku simpanan, Gracia memberitahu BBC Sport: "Tidak, dia merupakan seorang pemain yang berkualiti! Kami memiliki peluang untuk menjaringkan gol dalam babak pertama dan memulakan permainan dengan percubaan menjaringkan gol.

"Kami meneruskan permainan dan percaya kemenangan mampu dicapai -- Cleverley hadir tepat pada masa. Sama seperti ketika berdepan Bournemouth, dia bermain dengan baik selepas berehat panjang.

"Semua pemain berhak meraih lebih banyak masa beraksi kerana mereka telah berusaha dalam sesi latihan. Saya berasakan Cleverley adalah pilihan terbaik dan dia menyumbat jaringan berkualiti.

"Burnley halangan kami seterusnya. Kami akan cuba meningkatkan lagi mutu permainan hingga penghujung musim ini."

Pengurus Palace, Roy Hodgson, mengakui pasukannya terlepas beberapa peluang dan berharap terdapat satu atau dua pemain baru bakal menyertai pasukan sebelum tamat jendela perpindahan bulan ini.

"Cleverley menjaringkan gol yang menakjubkan. Ia berlaku dalam bola sepak dan tiada apa yang boleh anda lakukan. Watford pasukan berkualiti dan berjaya merakamkan kemenangan.

"Kami perlu menghasilkan lebih banyak peluang untuk menjaringkan gol kedua. Watford sangat bagus ketika melancarkan serangan balas.

"Apa yang saya boleh harapkan kepada Dougie Freedman (pengarah sukan) dan staf peninjau serta pengerusi kelab akan membantu bagi mendapatkan beberapa lagi pemain baru untuk memperkuatkan pasukan bagi menghadapi separuh kedua musim ini."