ARSENAL 2 CARDIFF CITY 1

Pemain tengah Barcelona, Denis Suarez, mampu membantu menyelesaikan kepincangan Arsenal, kata pengurus, Unai Emery, yang berharap Ainsley Maitland-Niles sempat cergas menjelang pertembungan dengan Manchester City.


Suarez bersedia untuk menyertai Arsenal sehingga akhir musim ini selepas gagal menambat hati Ernesto Valverde di Barca, namun dia tidak sempat untuk melengkapkan perpindahannya ketika The Gunners merakamkan kemenangan 2-1 ke atas Cardiff City dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.

Maitland-Niles terlepas aksi itu selepas dilanda kecederaan lutut untuk menyertai rakan sepasukan, Hector Bellerin, Sokratis dan Laurent Koscielny, di bilik rawatan.

Selepas menyaksikan jaringan Pierre-Emerick Aubameyang dan Alexandre Lacazette membantu Arsenal menumbangkan The Bluebirds, Emery memberitahu pemberita: "Kami memerlukan pemain sayap.

"Suarez, sepertimana yang saya tahu, mempunyai kualiti itu. "

Ditanya sama ada pemain berusia 25 tahun itu mampu menampung corak permainan fizikal dalam EPL, Emery menjawab: "Buat masa ini, saya tidak tahu lagi.

"Ia satu cabaran buatnya dan juga untuk membantu kami."

Dengan baki dua hari sebelum jendela perpindahan ditutup, Emery teruja untuk menantikan ketibaan pemain berpotensi tatkala Arsenal turut dikaitkan dengan pemain Inter, Ivan Perisic.

Dia berkata: "Jika seorang pemain boleh datang ke sini untuk membantu kami, maka dia akan datang. Saya tidak tahu mengenai perkembangan semasa kerana memberi fokus kepada perlawanan ini. Mungkin malam ini atau esok saya akan mengulasnya."

Menjelang pertembungan dengan juara EPL, City, di Stadium Etihad, dan ditanya sama ada pemain yang tercedera akan kembali, Emery berkata: "Saya belum tahu lagi, kami akan mengetahuinya dalam sesi latihan esok.

"Saya berharap beberapa pemain boleh kembali bersama kami, khususnya Ainsley (Maitland-Niles)."

Sementara itu, rakan sejawatan Emery, Neil Warnock, menyatakan kekecewaannya terhadap kegagalan pertahanan tengah Cardiff, Bruno Ecuele Manga, yang tidak belajar daripada kesilapan dalam babak pertama apabila menghadiahkan penalti kepada lawan selepas menjatuhkan Sead Kolasinac.

Aubameyang membuka tirai jaringan perlawanan melalui sepakan penalti dan sejak itu, tiga mata seakan-akan sukar digugat daripada Arsenal.

"Mereka sepatutnya mendapat sepakan penalti dalam babak pertama dan saya sudah berpesan kepada Bruno (ketika waktu rehat) agar tidak mengulangi terjahan seperti itu lagi, jadi saya sangat kecewa," kata Warnock.

"Pemain perlu memikirkan soal tanggungjawab mereka, ia kesilapan yang amatur," katanya selepas menyaksikan pasukannya menjaringkan gol sagu hati menerusi Nathaniel Mendez-Laing dalam masa kecederaan.