Ejen kepada penyerang Tottenham Hotspur, Vincent Janssen, mendedahkan bahawa pemain itu telah menolak tawaran dari Galatasaray kerana mahu merebut tempat di White Hart Lane.

Pemain berusia 22 tahun itu bergelut untuk memberi impak berkesan sejak berhijrah ke England dari AZ Alkmaar, Julai lalu, dengan ketiga-tiga golnya hadir menerusi sepakan penalti.

Kepulangan Harry Kane daripada kecederaan turut menyebabkan peluang Janssen untuk memikat hati pengendali, Mauricio Pochettino, semakin tipis, namun ejen, Patrick van Diemen, mengesahkan kliennya itu akan kekal bersama Spurs.

"Dia membuat keputusan untuk menolak semua tawaran," van Diemen memberitahu Omroep Brabant.

"Galatasaray ada menawarkan tawaran menarik tetapi Vincent berhasrat kekal di England.

"Vincent berhijrah ke Spurs kerana dia tahu akan mendapat peluang beraksi. Dia menandatangani kontrak yang panjang kerana Spurs miliki fasiliti terbaik dan seorang jurulatih yang hebat.

"Sebelum dia mengalami kecederaan, setiap minggu dia beraksi. Jadi, dia akan merebut tempat di sini."

Janssen berhijrah ke White Hart Lane selepas muncul penjaring terbanyak Eredivisie dengan 27 gol.