Wayne Rooney memberi amaran kepada Romelu Lukaku bahawa dia mesti menunjukkan kekuatan mental jika mahu berjaya di Manchester United.

United membawa masuk Lukaku dari Everton menerusi perjanjian yang dilaporkan bernilai £75 juta (RM420 juta) dengan kontrak lima tahun, Selasa lalu.

Selepas itu, Rooney membuat kemunculan semula penuh emosi di Goodison Park selepas 13 tahun meninggalkan pasukan itu untuk United, di mana dia menjadi penjaring gol terbanyak sepanjang zaman di Old Trafford.

Rooney, 31, percaya Lukaku mempunyai keupayaan untuk berjaya bersama skuad Jose Mourinho tetapi harus mengelak daripada keraguan ketika bermain.

"Bermain untuk United adalah satu ujian perwatakan," kata Rooney, yang menjaringkan satu gol menarik dalam penampilan pertama di Everton ketika menentang Gor Mahia pada Jumaat lalu.

"Anda mesti cukup kuat untuk menerima cabaran, United adalah sebuah kelab bola sepak yang menuntut kejayaan. Lukaku harus cukup kuat untuk menghadapi cabaran itu.

"Sekiranya dia berbuat demikian, dengan keupayaan yang dimilinya, maka dia akan berjaya. Jika dia bimbang tentang sesuatu perkara, maka ia akan menjadi lebih sukar.

"Mudah-mudahan, Lukaku mempunyai individu yang akan memberikan bimbingan tepat di sana dan mendapatkan yang terbaik daripadanya."

Rooney percaya ia semakin sukar bagi pemain di United untuk memenuhi tahap yang diperlukan sekarang, selepas peralihan dibuat Sir Alex Ferguson dan Kelas 92 yang terkenal.

"Terdapat tahap yang perlu kamu jaga apabila berada di United. Ia datang daripada Sir Alex ketika saya pergi ke United dan ia disahkan melalui pemain seperti Giggsy (Ryan Giggs), Gary Neville dan Scholesy (Paul Scholes).

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya dan Michael Carrick terus memelihara pemain baru mengekalkan tahap tersebut.

"Itu lebih sukar sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan beberapa pemain yang menyertai kelab itu. Terdapat tradisi di United yang perlu dikekalkan.

"Ia menjadi lebih sukar tetapi itu bukan masalah saya, saya gembira kembali ke Everton," tambahnya.