Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, berkata dia telah bercakap dengan Mamadou Sakho berkenaan dengan dakwaannya bahawa kelab itu tidak menjelaskan perkara yang sebenar mengenai tahap kecergasan dirinya.

Pemain pertahanan itu menggunakan laman sosial Snapchat untuk meluahkan rasa tidak puas hatinya apabila berkata Liverpool enggan menurunkannya dengan menggunakan faktor kecergasan sebagai alasan.

"Saya terima situasi yang berlaku tetapi saya tidak boleh menerima pembohongan ini," tegas Sakho.

Sakho tidak beraksi bersama Liverpool sejak dihantar pulang dari sesi pra-musim di Amerika Syarikat gara-gara masalah disiplin.

Klopp, bagaimanapun, memberi bayangan bahawa pemain kebangsaan Perancis itu bakal kembali ke skuad utama.

Apabila ditanya sama ada bekerja keras dan menutup mulut mampu menyelamatkan kerjaya Sakho di Anfiled, Klopp berkata: "Dua perkara itu bukan ditujukan kepada Sakho sahaja, bahkan semua pemain Liverpool.

"Saya ada mengatakan perkara ini kepada Mama (Sakho) dan setiap pemain.

"Dari pihak saya, segala-galanya telah selesai."