Jurgen Klopp berkata nasib mungkin akhirnya akan memihak kepada Daniel Sturridge apabila aksi separuh akhir Piala Liga Inggeris (EFL) menentang Southampton berpotensi untuk menghidupkan kembali karier penyerang Liverpool itu.

Sturridge hampir pasti akan diturunkan dalam pertemuan pertama di Stadium St Mary's itu tatkala kehilangan Sadio Mane untuk kempen Piala Negara-Negara Afrika, Philippe Coutinho masih mencari semula rentaknya dan Divock Origi pula baru sahaja beraksi ketika seri 0-0 dengan Plymouth Argyle, Ahad lalu.

Selepas menjaringkan 21 gol buat The Reds dalam cabaran memburu kejuaraan liga pada 2013-14, sumbangan penyerang England itu pada musim ini adalah terhad.

Dengan enam gol dalam 15 penampilan musim ini selain dipengaruhi faktor kecederaan, Klopp percaya ini adalah detik terbaik buat Sturridge untuk mengukuhkan tempatnya.

"Ia akan menjadi menarik dan ada kalanya anda perlukan tuah dari segi masa," kata Klopp.

"Sadio tiada, Phillipe pula masih mengembalikan kecergasan dan Daniel sudah kembali. Itu akan membantu dan saya berharap ia akan kekal seperti ini untuknya.

"Ketika menentang Plymouth, kami memberinya peluang beraksi selama 20-25 minit selepas pertemuan dengan Sunderland dan dia turun berlatih pada Isnin, ia berita yang bagus.

"Adakah dia kekal cergas? Jika Daniel cergas, adakah orang akan meragui kualitinya? Tidak.

"Pada suatu ketika dia sudah cergas, dia tidak diturunkan kerana terdapat perbezaan antara cergas dan cergas untuk perlawanan serta perkara seumpama itu. Namun, ia adalah langkah besar menuju landasan yang tepat.

"Kalau dia kekal cergas di tahap sekarang dan terus meningkat seperti yang diperlukan, ia akan menjadi sempurna. Ia akan menjadi berita sempurna buatnya dan untuk kami bahawa dia mampu memberikan persembahan.

"Alangkah baiknya kalau kita boleh bercakap mengenainya untuk beberapa minggu dan bulan akan datang."