Pep Guardiola menafikan bahawa Manchester City berminat untuk melamar Andres Iniesta dan seterusnya mengekalkannya dalam kancah Eropah dengan melabel laporan itu sebagai berita palsu.

Iniesta, pemain tengah berpengaruh Barca semasa pengurusan Guardiola di Camp Nou di antara 2008 dan 2012, mengumumkan bahawa musim ini akan menjadi yang terakhirnya bersama kelab Sepanyol itu.

Pemain antarabangsa Sepanyol itu belum mengesahkan langkah seterusnya, namun umumnya dia mengintai peluang dalam Liga Super China.

Guardiola, yang meraikan pertabalan sebagai juara Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika ke West Ham hari ini, memberikan perkembangan lanjut mengenai kemungkinan mereka akan bersatu kembali di Stadium Etihad.

"Terdapat banyak berita palsu tentang perpindahan, jadi saya tidak akan memberi komen mengenai berita palsu," kata Guardiola kepada wartawan.

"Andres akan memutuskan masa depannya sendiri dan dia telah memutuskan untuk bermain di China.

"Dia akan mengakhiri karier di sana dan selepas itu, dia harus kembali ke Barcelona untuk generasi akan datang, untuk membantu mereka menjadi kelab seperti hari ini.

"Dia telah memutuskan untuk mengakhiri penghujung kariernya di tempat lain atas banyak sebab tetapi jika dia mahu bersaing di tahap tinggi, dia akan kekal di Barcelona.

"Di sini, kami tidak dapat menawarkan seperti apa yang dia ada di Barcelona. Dia memutuskannya atas alasan lain, bukan berkenaan bola sepak semata-mata," jelasnya.

Laporan turut mencadangkan pertahanan England, John Stones -- yang tidak diturunkan sejak pertengahan Februari lalu -- mungkin menuju pintu keluar.

Begitupun, Guardiola sekali lagi berkata media tidak betul sambil memuji Stones biarpun peluang pemain berusia 23 tahun itu terhad kepada 14 penampilan liga pada musim ini.

"Ini satu lagi berita palsu, saya tidak akan memberi komen mengenai berita palsu perpindahan itu," kata Guardiola. "Saya tidak tahu bagaimana orang boleh percaya bahawa kami akan menjual John Stones, dia seorang pemain muda, pemain antarabangsa Inggeris.

"Dia adalah sebahagian besar daripada sebab mengapa kami memenangi gelaran. Sepanjang enam bulan pertama, dia tampil mengagumkan, dia menyertai pasukan kebangsaan sebanyak dua kali dan ditimpa kecederaan.

"Setelah itu, Vinny (Vincent Kompany) kembali pada tahap baik dan Nico (Otamendi) berada di tahap yang menakjubkan sepanjang musim ini manakala rekod perpindahan kelab, (Aymeric) Laporte, memberi kesan awal yang sangat baik.

"Saya minta maaf kepada orang yang mengumumkan bahawa kami ingin menjualnya, saya minta maaf -- mereka berbohong."