Pengurus Belgium, Roberto Martinez, percaya jendela perpindahan kali ini adalah masa yang tepat buat Eden Hazard meninggalkan Chelsea.

Hazard mengetuai Red Devils untuk meraih pencapaian terbaik dalam Piala Dunia Russia dengan mengakhiri kempen di tempat ketiga dengan menyumbangkan dua gol dan tiga bantuan gol.

Spekulasi terus mengaitkan Hazard akan memenuhi kekosongan yang ditinggalkan oleh Cristiano Ronaldo di Real Madrid berikutan perpindahan bintang Portugal berkenaan ke Juventus.

Bercakap kepada Cadena SER, Martinez berkata: "Ini mungkin masa terbaik (buat Hazard) untuk mencuba sesuatu yang berbeza.

"Hazard mampu memainkan peranan dalam projek baru di mana sahaja di dunia, dia berada dalam tempoh terbaik kerjayanya. Bagi saya, sangat mudah untuk menjawab soalan ini.

''Dia boleh menyertai mana-mana pasukan di dunia. Pemain memerlukan cabaran dan projek baru. Mungkin ini adalah detik yang baik untuk (Chelsea) dan Eden (berpisah). Saya akan menjadi sangat terkejut sekiranya Chelsea tidak menerima sebarang tawaran besar ke atasnya ketika ini."

Chelsea memecat Antonio Conte pada Jumaat lalu selepas berbulan-bulan dilanda spekulasi dengan menggantikannya dengan bekas pengurus Napoli, Maurizio Sarri.

Pemain tengah Itali, Jorginho, akan menyusuli Sarri ke Stamford Bridge dalam perjanjian bernilai £50 juta (RM266.6j).